Jamil Khir Baharom

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kewujudan jabatan itu juga selaras dengan kedudukan Islam dalam sumpah Yang di-Pertuan Agong bagi memelihara Islam setiap masa serta kuasa agama Islam di bawah Raja-Raja Melayu.

Beliau memberitahu, Jakim me­laksanakan tugas yang terkanun da­lam Perlembagaan bagi menyelaras aktiviti dan program yang berkaitan agama Islam serta menjaga keharmonian negara.

“Pandangan supaya Jakim dimansuhkan adalah tidak menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan. Sewajarnya, Perlembagaan perlu dihormati oleh semua pihak.

“Kita juga perlu sedar bahawa agama Islam menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada keharmonian dan kestabilan negara selama ini sehingga Malaysia menjadi negara Islam contoh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tawfiq Ismail dalam portal propembangkang, The Malaysian Insider yang mahu Jakim dimansuhkan kerana dilihat seolah-olah mencampuri kehidupan peribadi rakyat negara ini.

Menurut Jamil Khir, Jakim telah berkembang mengikut peredaran semasa yang mana terdapat keperluan untuk menyelaras pembangunan dan kemajuan umat Islam di negara ini.

“Sudah tentunya ada panda­ngan-pandangan yang membanding­kan zaman dahulu dengan zaman sekarang, bagaimanapun, se­suatu yang sesuai pada masa dahulu tidak semestinya selari dengan masa sekarang kerana terdapatnya keperluan-keperluan semasa,” katanya.

Beliau memberitahu, penyela­ras­an yang dilakukan oleh Jakim bersama-sama pelbagai agensi te­lah melahirkan produk-produk ber­asaskan agama Islam termasuk perbankan Islam, pajak gadai Islam ar-Rahnu, selain memantapkan lagi perkhidmatan ibadah haji.

Katanya lagi, sumbangan Jakim tidak terhad kepada masyarakat Islam semata-mata kerana ma­sya­rakat bukan Islam turut mendapat manfaat.

“Saya beri contoh dalam industri halal, 72 peratus yang mendapat sijil halal adalah masyarakat bukan Islam dan hanya 28 peratus sahaja masyarakat Islam. Jakim memberi ruang kepada setiap orang terma­suk bukan Islam,” katanya.