Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, sekretariat itu akan dianggotai oleh wakil jabatan-jabatan agama Islam negeri, yayasan, badan-badan berkaitan dan golongan pencinta jawi.

Katanya, sekretariat itu antara lain akan menganjurkan persidangan dua kali setahun dan merangka pelbagai program serta inisiatif memartabatkan jawi antaranya menganjurkan Manifestasi Seni Khat dan Jawi, kem tulisan jawi dan program berkaitan inovasi jawi.

“Sudah sampai masanya kita tidak lagi bergerak secara bersendirian sebaliknya menjalin kerjasama strategik dalam merealisasikan matlamat ini. Saya juga telah menetapkan sekurang-kurangnya 20 peratus bahan ber­cetak seperti sijil-sijil dan backdrop mestilah bertulis jawi.

“Selain itu, Jakim merancang mengadakan program memartabatkan jawi berskala nasional tahun hadapan. Ini kerana tulisan jawi ada implikasi dakwah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Persidangan Meja Bulat Bagi Memartabatkan Tulisan Jawi di Jakim, di sini, hari ini. Yang turut serta Pengarah Penerbitan Jakim, Zainab Ab. Rahman, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Dalam persidangan selama kira-kira dua jam itu, pelbagai idea dan saranan disampaikan oleh wakil-wakil pelbagai jabatan dan institusi. Antaranya, penggunaan tulisan jawi dalam sijil nikah, sijil-sijil kursus, minit mesyu­arat dan perintah mahkamah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Mohd. Ajib Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan penubuhan sekretariat tersebut dan bersedia merangka program berkaitan dalam usaha memartabatkan jawi.

Katanya, antara program yang dicadangkan mencetak gegantung dan kain rentang tulisan jawi serta pameran dan penubuhan kelab tulisan khat.