Menurutnya, walau apa jua cubaan mahupun desakan untuk memansuhkannya, institusi yang merupakan lambang syiar Islam itu perlu dikekalkan.

“Saya berpandangan sama seperti Mufti Kelantan yang mana institusi itu (Jakim) mesti dipertahankan. Jakim sudah terbukti memberi kebaikan amat besar kepada umat Islam.

“Institusi itu jugalah selama ini yang mempertahankan syiar dan agama Islam di negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Teks Tadarus al-Quran dan Tadarus Perdana di Dewan Besar Balai Islam, Lundang, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang mengingatkan semua pihak agar jangan menyentuh institusi agama di negara ini yang menjadi tunjang perpaduan umat Islam.

Dalam pada itu, Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, program yang dianjurkan pada setiap tahun itu merupakan platform terbaik dalam menepis fahaman liberal.

“Fahaman liberal ini kadang-kadang tidak mengambil maksud penuh syariat Islam contohnya dalam pembahagian harta pusaka dan faraid yang dikatakan tidak adil sedangkan al-Quran sudah menjelaskan secara terperinci,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE