Lebih menarik, menerusi koleksi itu, cawangan Jakel di Johor sahaja menjual potongan baju teluk belanga secara eksklusif manakala di cawangan Jakel di tempat lain hanya menawarkan potongan cekak musang.

Koleksi baju raya Upin dan Ipin dihasilkan bagi kanak-kanak berusia dua hingga 13 tahun, turut dijual potongan baju kurung.

Pengurus Bahagian Eksklusif Gedung Tekstil Jakel Johor Bahru, Mohd. Nasir Kassim berkata, koleksi Upin dan Ipin yang dibuat hasil kerjasama pihaknya dengan penggiat industri kreatif, Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. (Les’ Copaque) itu dijangka mampu memberi kelainan terutama kepada kanak-kanak.

Dalam masa sama, Jakel juga menawarkan koleksi oleh duta Jakel iaitu Aaron Aziz, Rozita Che Wan dan Nabil Ahmad.

“Sambutan yang kita terima di Jakel Johor Bahru ini sentiasa menggalakkan saban tahun, malah ‘bahang’ kunjungan pelanggan untuk membeli-belah juga sudah dapat dirasai sebelum bermulanya Ramadan lagi.

“Dengan sambutan itu, kita jangkakan mampu mencapai pe­ningkatan jualan lebih 10 peratus berbanding tahun lalu,” katanya kepada pemberita pada kempen Gempak Raya Bersama Jakel 2015, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Perhubungan Awam dan Media Baharu Les’ Copaque, Mohd. Zarin Abdul Karim.

Kempen di Jakel Johor Bahru menampilkan Nabil yang turut mengendalikan lelongan pada sesi ‘happy hour’ selain maskot komik Upin dan Ipin serta kemunculan istimewa pelakon kanak-kanak, Mia Sara dan Rykal Iskandar.

Sementara itu, Mohd. Zarin memberitahu, koleksi baju raya Upin dan Ipin bersama Jakel turut dijual di restoran mereka di seluruh negara, antaranya di sini, Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor dan Melaka.