Kenapa umat Islam sendiri mempersoalkan hukuman sebat?

Rata-rata hari ini orang Islam tidak mengetahui apa yang ada dalam syariat sehingga menganggap hukuman itu sengaja diada-adakan. Sepatutnya orang Islam sudah tahu hukum sejak mula baligh, kena belajar dan akhirnya tidak akan timbul masalah dan salah faham.

Ada yang menganggap hukuman itu beri imej buruk kepada Islam?

Mereka yang rasa begitu ke­rana mereka jahil tentang hukum Islam sedangkan hukum Allah lebih cantik. Malah dalam kes di Terengganu, pesalah sendiri reda, mengaku salah dan tidak bantah hukuman dijalankan. Disebabkan kejahilan, orang Islam sendiri memandangnya tidak adil dan tidak berperikemanusiaan. Di mana tidak adil dan tidak berperikemanusiaan itu, saya tidak tahu.

Kita lihat golongan mufti sepakat menyokong hukuman sebat itu?

Sebenarnya mufti-mufti tidak ada berhubung antara satu sama lain, tetapi mereka semua menge­tahui hukum. Mereka akan kata ia hukuman yang datang daripada wahyu Allah, kena taati dan tidak persoalkan. Bukannya kita berpakat tetapi ilmu tentang itu sudah lama, LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) adalah salah. Kalau bukan semua sekali pun tetapi majoriti mufti apabila di­tanya akan ada satu pendapat.

Wujud pandangan bahawa perlakuan LGBT hak individiu?

LGBT adalah jenayah dalam Islam, ada kisah umat Nabi Lut yang Allah murka, tetapi sampai hari ini ada yang kata kasihan kepada golongan itu. Ramai yang me­nganggap mencuri, membunuh, mencedera dan memukul orang sahaja jenayah. Tetapi mereka tak sedar homoseksual dan lesbian juga jenayah dalam Islam.

Kerajaan tidak setuju dengan pelaksanaan hukuman tersebut?

Yang tentukan soal itu adalah Kabinet bukan Islam kerana dianggotai oleh mereka yang bukan Islam dan orang Islam yang tak tahu. Mungkin mereka yang betul-betul tahu tentang hukuman itu tidak ada (dalam Kabinet). Sepatutnya kerajaan tidak persoalkan keputusan mahkamah, kerana boleh dituduh hina mahkamah. Kalau tidak ada kepakaran tentang hukum Islam, kena tanya dulu orang yang tahu, kalau tidak nanti orang akan lihat kita jahil.