Sasterawan dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin berkata, kelantangan bersuara perlu dilihat secara rasional serta berlandaskan garis sempadan peradaban kerana tindakan seumpama itu mempamerkan sikap serta pendirian yang akan dinilai masyarakat khususnya dalam konteks adab, budaya dan ke­peribadian individu.

Ujar beliau, ahli politik atau sesiapa sahaja sewajarnya mengutamakan kerukunan hidup serta menitikberatkan kesejahteraan dan bukan bertindak sebaliknya dengan memecahbelahkan atau memuramkan iklim kehidupan.

“Saya juga ahli bahasa yang sentiasa menganjurkan amalan mulia terutama dalam pertutu­ran dan penulisan demi melestari citra budi bangsa kita,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkif­li Ahmad menyifatkan perum­pamaan ‘monyet’ yang diberikan Penasihat DAP, Lim Kit Siang terhadap beliau sebagai biadab dan melampau.

Mengulas lanjut, Swee Tin menyatakan, penjawat awam adalah mereka yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab justeru, kata-kata yang bersifat menghina tidak mungkin akan menyumbang sesuatu yang bermakna kepada golongan pentadbir itu.

Jelas beliau, banyak contoh-contoh keji terutama pemakaian bahasa dan tindak tanduk yang tidak sihat muncul sejak kebelakangan ini dan ia tidak sesuai untuk dicontohi generasi muda.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berpendapat, walaupun Kit Siang tidak secara langsung menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebagai monyet, namun perumpamaan sedemikian boleh menzahirkan pelbagai reaksi dan bersifat emosional.

Jelas beliau, reaksi bersifat emosional akan berterusan ke­rana dalam konteks ungkapan itu meletakkan Dzulkifli sebagai penama dalam perumpamaan berkenaan.

“Kalau penggunaan umum sekali pun, ia kurang wajar ke­rana tiada siapa yang suka dipanggil monyet tambahan pula diungkap pemimpin yang akan menjadi rujukan pelbagai pihak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pakar Sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam menzahirkan rasa kecewa dengan kata-kata Kit Siang yang tanpa segan silu menghina pegawai tadbir dan orang Me­layu.

“Dia tidak perlu cakap begitu ke­rana mengguris hati orang. Sa­ya tidak faham kenapa ada parti yang nak bekerja­sama de­ngan DAP, kita ti­dak boleh te­rima dia sebab kalau penasihat politik be­­gitu maka kerajaan yang dijaga akan menjadi amat kasar,” tegasnya.