Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ketika tempoh pelaksanaan rukun haji itu tinggal enam hari sahaja lagi, jemaah haji tidak harus ‘mendera diri’ melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.

“Suasana di Arafah sangat panas dan kita diberitahu suhunya boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius, sebab itu saya nasihat jemaah supaya makan ubat dan minum air banyak-banyak khususnya air zam-zam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas membuat tinjauan di Hotel Rehab Al-Janadriyah yang merupakan salah sebuah maktab penginapan jemaah Malaysia.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Khadijah Mohd. Noor; Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Saiful Azlan Shariff.

Dalam lawatan itu, Abdul Azeez mengambil kesempatan bertemu dengan waris empat jemaah yang meninggal dunia di sini dan Madinah.

Jemaah-jemaah tersebut ialah Allahyarham Che Isa Che Awang dan Allahyarham Kassim Palidin yang kedua-duanya meninggal dunia di sini pada 25 Ogos dan 28 Ogos lalu.

Dua lagi jemaah yang meninggal dunia ialah Mohamad Aman dan Supiyah Bakar di Madinah pada 8 Ogos dan 19 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, selain wukuf di Arafah, jemaah haji juga akan terlibat dalam melaksanakan wajib haji iaitu bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

“Ini bermakna mereka akan terlibat dalam banyak pergerakan dan kebiasaannya kebanyakan mereka terlupa makan ubat kerana mengejar masa serta tidak minum air dengan banyak,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu boleh mendedahkan mereka kepada strok haba berikutan cuaca panas.

“Justeru kita minta mereka patuhi garis panduan yang ditetapkan oleh petugas-petugas haji bagi memastikan pelaksanaan ibadah mereka di Arafah, Muzdalifah dan Mina tidak terjejas,” katanya.