Lim Swee Tin

Sasterawan dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin berkata, penggunaan bahasa rojak untuk urusan rasmi harus dielakkan sama sekali walaupun penggunaan bahasa tersebut secara umumnya masih boleh diterima jika bertujuan memecahkan formaliti.

“Namun jika dibawa bahasa tersebut (bahasa rojak) dalam penulisan, pidato, mesyua­rat, pembentangan rasmi dan perbincangan serius percayalah bahasa kita mula malang.

“Situasi rasmi menuntut pengguna menghargai dan menjaga tertib, serta keindahan bahasa Melayu. Jika tidak, hal ini pasti menghancurkan bahasa baku, gramatis dan estetik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Swee Tin berkata, dalam hal ini, institusi pendidikan, kerajaan dan media perlu menggalas tanggungjawab penting dalam menyedarkan masyarakat betapa pentingnya memartabatkan bahasa ibunda ini.

“Cumanya, dalam soal media sosial, saya berpandangan itu merupakan hak persendirian, mereka boleh gunakan bahasa yang mereka selesa. Perkara itu sekadar menyampaikan pesanan tidak perlu ditekankan struktur dan hukum bahasa, yang penting pemahaman mesej itu sampai kepada penerima,” jelasnya.

Muhammad Pauzi
Muhammad Pauzi

Sementara itu, Pengarah Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Pauzi Abd. Latif berkata, pelajar di negara ini perlu ditanamkan kesedaran dalam diri mereka bahawa bahasa Melayu bukan sahaja perlu dipraktikkan untuk lulus dalam peperiksaan awam tetapi tanamkan sebagai suatu kebanggaan.

“Walaupun keli­ha­tan sukar untuk mengawal penggu­na­an bahasa di media sosial, tetapi usa­ha dan motivasi untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bahasa itu perlu dipergiatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Farami Abdul Karim berkata, golongan muda perlu mengawal diri daripada mencampuradukkan bahasa dan perlu amalkan penggunaan satu bahasa dalam satu masa.

“Sebab itu bahasa rojak tidak boleh dibiarkan sebagai satu kebiasaan kerana akhirnya sensitiviti kepada bahasa Melayu yang betul akan terhakis,” ujarnya.