Itu merupakan nasihat yang diberikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kepada kumpulan pertama Batalion Malaysia (Malbatt) 850-6 yang berlepas bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon (UNIFIL).

Mohamad atau lebih mesra disapa 'Abang Mat' pada masa sama meminta supaya setiap anggota terlibat komited dalam penugasan tersebut sekali gus menjulang martabat negara di peringkat antarabangsa.

“Jangan lakukan kesilapan peribadi sehingga jejaskan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Malaysia.

“Nama Malaysia telah harum di antarabangsa terutamanya kepemimpinan dan disiplin ATM di luar negara dalam sertai misi PBB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-6 di Balai Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. - UTUSAN ONLINE