Rohani yang hampir 33 tahun berkhidmat sebagai pendidik berkata, tidak ada jalan mudah untuk menuju kejayaan malah ia memerlukan sifat kerajinan yang sangat tinggi.

“Pelajar kalau mahu berjaya perlu buat perancangan daripada awal ditambah dengan kerajinan dan ketekunan.

“Belajar rajin-rajin, jangan tinggal sembahyang, jaga sahsiah, sabar dan jangan khianati orang lain,” katanya semasa berucap di Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih sempena persaraannya di sekolah itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Kanan (Pentadbiran), Mohd Al Baqir Sholeh Mohd Yusoff; Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid), Ismail Yusuf; Penolong Kanan (Pendidikan Khas), Mohd Zulkifli Che Omar dan Penolong Kanan (Kokurikulum), Abd Aziz Mat.

Kira-kira 100 guru dan kakitangan sokongan serta 1,300 murid turut memeriahkan majlis tersebut bagi meraikan guru besar kesayangan mereka.

Rohani yang mula bertugas sebagai guru biasa pada 1 Januari 1986 di SK Chetok Pasir Mas mula dilantik sebagai guru besar pada tahun 2004 di SK Simpangan Tumpat.

Sepanjang tempoh empat tahun memegang tampuk pentadbiran di SK Datu’ Hashim dari April 2014 hingga kini, banyak jasa telah ditaburkannya.

Antara sumbangan yang paling utama adalah usaha menaiktaraf infrastruktur sekolah sehingga terbinanya kemudahan seperti Dewan Seri Gemilang bernilai RM500,000; padang sekolah (RM500,000); blok bangunan baharu RM2.1 juta ringgit dan surau sekolah RM400,000. - UTUSAN ONLINE