OTHMAN MUSTAPHA

Ketua Pengarah Jabatan Ke­majuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, sebanyak tiga kertas soalan bagi tiga subjek UPPK 2017 didapati hilang dalam kejadian pecah masuk di Melaka itu.

“Jabatan Agama Islam Melaka membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan sia­­satan mengikut peruntukan undang-undang.

“Sehubungan itu, Jakim ingin memaklumkan perkara yang berlaku tidak akan menjejaskan pelaksanaan peperiksaan UPKK 2017 kerana Jakim menyediakan set soalan kedua bagi subjek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Othman berkata, penyusunan jadual baharu bagi peperiksaan yang akan diadakan pada 2 hingga 5 Oktober ini adalah bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan berkenaan.

“Jabatan ini memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi berikutan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, di Melaka, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, tidak sampai 24 jam selepas kes pecah masuk Pejabat Bahagian Pendidikan, JAIM di sini, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kejadian tersebut.

Menurutnya, suspek berusia 38 tahun yang merupakan pegawai awam di pejabat berkenaan ditahan pukul 2.30 pagi ini di sebuah rumah di Taman Bukit Katil Kenari di sini.

“Tangkapan ke atas lelaki ini dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada kakitangan JAIM kira-kira pukul 3 petang semalam.

“Kejadian tersebut disedari kakitangan JAIM selepas mendapati kertas soalan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2017 dalam mencurigakan dan bercampur de­ngan soalan lain di dalam kotak berasingan pada pukul 9.30 pagi.

“Semakan turut mendapati beberapa kertas soalan peperiksaan mata pelajaran Ulum Syariah, Adab, Jawi dan Khat telah hilang walaupun pejabat di tingkat satu itu dalam keadaan berkunci,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAIM, Md. Azhan Samat berkata, kehila­ngan 24 kertas Ulum Syariah, 27 naskhah Adab dan 14 naskhah Jawi dan Khat itu adalah yang pertama berlaku di negeri dan negara ini.