Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata, OIC perlu mengutarakan perkara tersebut kepada Myanmar dengan segera agar kezaliman terhadap etnik tersebut dihentikan.

Katanya, jika pemimpin kanan Myanmar bersetuju dengan langkah tersebut, Malaysia dan Bangladesh bersedia menjadi negara yang mengawal selia manakala negara-negara Islam lain termasuk dari Teluk dibenarkan menjadi pelabur utama dalam pembangunan wilayah Rakhine itu.

“Myanmar perlu memberi peluang kepada wilayah itu untuk dibebaskan daripada cengkaman ancaman keselamatan nyawa dan harta dengan me­ngubahnya sebagai kawasan atau zon pembangunan baharu yang berteraskan kerjasama pemba­ngunan serta pelaburan daripada negara-negara Islam lain.

“Langkah itu secara tidak langsung menjadi perangsang pertumbuhan ekonomi pada Myanmar, malah imej dan nama baik Myanmar tidak lagi dipandang serong oleh negara luar seperti ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Md. Shukri, negara yang dipimpin oleh Htin Kyaw iaitu pembantu rapat dan rakan baik kepada ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi sebagai Presiden Myanmar itu perlu memberi peluang kepada wilayah Rakhine untuk dibantu dengan komitmen antarabangsa.