Katanya, Malaysia dikurnia­kan dengan cuaca dan tanah yang subur yang memudahkan usaha penanaman pelbagai tanaman dan bunga-bungaan dan kele­bihan itu seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mencantikkan landskap negara.

Dr. Mahathir berkata, pe­rancangan bandar juga perlu dibuat secara tersusun de­ngan mengambil kira susun atur bangunan yang sama jenis dan pemilihan pohon-pohon yang sesuai bagi mencantikkan landskap dan taman.

“Ada kesannya jika sesuatu kawasan tertentu dibiarkan lapang, supaya kita dapat menanam pokok dan tidak ditinggalkan begitu sahaja.

“Selain itu, beri tumpuan kepada kecantikan pohon yang ditanam di sepanjang jalan dan buat tempat untuk penduduk berehat di hujung minggu, berkelah dan sebagainya,” kata­nya pada sidang media selepas merasmikan Hari Landskap Negara 2019 di Taman Botani Putra­jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pokok-pokok di Putrajaya tumbuh dengan cepat sehingga mencecah diame­ter satu setengah kaki dalam masa tidak sampai 20 tahun.
 Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut menegur kegiatan melukis grafiti pada dinding bangunan dengan perkataan-perkataan yang tidak mempunyai makna yang disifatkannya sebagai memburukkan pemandangan.

“Jika anda hendak lukis din_ding dengan elok dan cantik sebagai latar belakang jalan, ini bagus. Anda boleh juga gambar sebenar.

“Saya tiada halangan gambar saya dilukis pada dinding sebuah bangunan di Alor Setar... Yang itu ok, tetapi bila mereka mula menconteng, itu tak elok,” katanya.

Pada majlis yang turut dihadi­ri Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad itu, Dr. Mahathir turut menyampaikan beberapa anugerah berbentuk geran kepada komuniti, pemaju dan pihak berkuasa tempatan yang berjaya merancang dan melaksanakan pengurusan land­skap yang komprehensif.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerima anugerah utama di bawah Inisiatif Negara Taman melibatkan geran bernilai RM1 juta, manakala Perbadanan Putrajaya dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri masing-masing menerima geran bernilai RM500,000 dan RM300,000.

Hari Landskap Negara mula disambut pada tahun 1998 pada setiap 3 Mac bertujuan menggerakkan budaya kecintaan terhadap landskap dalam kalangan rakyat selaras dengan Teras 1 Dasar Landskap Negara iaitu Membudayakan Kecintaan Terhadap Landskap. – BERNAMA