KUALA LUMPUR 22 Okt.- Perkembangan sesebuah institusi keluarga dalam kalangan masyarakat wajar dijadikan salah satu fokus utama dalam Agenda Sosial Negara bagi menangani isu-isu sosial pada masa akan datang.
![]() |
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki beramah mesra bersama salah seorang anak perantau Pasir Putih, Kelantan yang turut sama mengacau bubur Syura bersama artis tanah air, Fizo Omar sempena Majlis Anak Perantau Pasir Putih yang berlangsung di Restoran Fizomawar, Bangi, di sini hari ini.-UTUSAN
|
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walau bagaimanapun perkara itu memerlukan kerjasama daripada rakyat, bukan sekadar penglibatan pihak kerajaan semata-mata.
“Selama ini apabila menghadapi sesetengah kemelut sosial, kita tanganinya dengan terlalu mudah dan memandang ringan sesuatu isu, malah selesaikan sesetengah isu pada masa itu sahaja.
“Justeru, Agenda Sosial Negara memerlukan penglibatan pelbagai pihak, bukan sahaja kementerian, tetapi juga di peringkat rakyat contohnya seperti memperkasakan institusi keluarga, kerajaan sudah mengadakan pelbagai program tetapi jika masyarakat tidak mempunyai kesungguhan, keinginan ataupun kebersamaan untuk menyelesaikan kemelut sosial, ia tidak akan membawa sebarang makna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Anak Perantau Pasir Putih yang diadakan di Restoran Fizomawar, Bangi, di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE