Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau secara peribadi menyanjung tinggi pencapaian Sidek sebagai anak kelahiran dari tempat yang dahulunya terletak dalam kawasan Parlimennya, Pekan telah menjadi watak penting jentera pentadbiran kerajaan termasuk sebagai Ketua Setiausaha Negara dari tahun 2006 hingga 2012 dan kini merupakan Pengerusi syarikat minyak negara, Petronas.

Kata Najib, antara pencapaian Sidek yang diingati ialah berjaya melonjakkan kedudukan negara di dalam senarai Destinasi Mudah Menjalankan Perniagaan oleh Bank Dunia dari tahun 2007 hingga 2013 selain mengeratkan kerjasama antara pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hasil program transformasi perkhidmatan awam.

"Seorang budak kampung yang miskin dan menjadi anak yatim seawal usia enam tahun tetapi berjaya sehingga dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara.

"Sebab itu hendak mendapatkan sesuatu inspirasi, cerita mengenai beliau perlu dijadikan teladan. Saya bangga apabila seorang anak dari Pekan berjaya sehingga menjadi Ketua Setiausaha Negara dan Pengerusi Petronas," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran buku yang mengisahkan hidup bekas Ketua Setiausaha Negara itu bertajuk No Wrong Door: The Story of Sidek Hassan, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE