Katanya rakyat perlu membuka lembaran baru bagi membangunkan negeri Terengganu dengan membawa dasar mesra rakyat, politik yang melebarkan kasih sayang, ekonomi mampan dan kehidupan rakyat yang sejahtera.

"Aidilfitri ertinya kita menyambut kemenangan melawan hawa nafsu dengan meninggalkan larangan Allah S. W.T dalam bulan Ramadan. Semoga hari raya ini menjadikan kita lebih baik daripada tahun sebelumnya.

"Begitu juga kita harapkan negeri Terengganu selepas berlakunya perubahan pentadbiran kerajaan dalam Pilhan Raya Umum (PRU) 14*kita mengharapkan negeri ini juga menjadi lebih baik dengan penambahbaikan kepada kesejahteraan rakyat.

"Sempena Aidilfitri ini, meriahkan suasana dengan budaya kunjung mengunjung antara sanak saudara dan rakan-rakan. Sebarkan keharmonian dan hubungan budaya antara kaum untuk kesejahteraan semua," katanya dalam Perutusan Hari raya Aidilfitri Menteri Besar Terengganu hari ini.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan rakyat negeri ini supaya terus berdoa untuk umat Islam Rohingya, Palestin dan Syria yang tidak bernasib baik dan berada dalam kancah konflik sejak sekian lama.

"Di samping kegembiraan menyambut Aidilfitri, janganlah lupa kepada nasib saudara kita yang berada di luar negara. Mereka berada dalam keadaan kurang berkemampuan dalam konflik yang berpanjangan.

"Untuk anak perantau yang akan pulang ke kampung halaman pula semoga sampai dengan selamat ke destinasi yang dituju. Pandulah dengan berhati-hati dan banyakkan bersabar," katanya.-- BERNAMA