Pembangunan negara bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlu melalui proses yang panjang.

Tanpa kepimpinan yang baik serta kuat, kita mungkin tidak dapat merasai nikmat kemajuan seperti sekarang.

Antara kemajuan besar yang dicapai negara adalah dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Ia boleh dilihat melalui pelbagai kemudahan perkhidmatan komunikasi serta multimedia yang disediakan kerajaan.

Malah, sehingga suku keempat tahun lalu, kadar penembusan jalur lebar negara telah mencapai 81.5 peratus bagi setiap 100 isi rumah.

Kemajuan tersebut menjadikan segala urusan harian menjadi lebih mudah dan maklumat hanya boleh diperolehi melalui hujung jari.

Namun, di sebalik ledakan teknologi maklumat itu, timbul beri­ta-berita palsu yang telah memberi kesan buruk kepada keselamatan serta sosioekonomi negara.

Keharmonian kaum serta aga­ma yang menjadi tunjang kemajuan negara selama ini juga terancam akibat perbuatan pengguna internet yang tidak sensitif dan bertanggungjawab.

Sehubungan itu, bagi memulih­kan semula kesejahteraan negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyeru rakyat mengambil peluang sempena sambutan kemer­dekaan kali ini yang bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiawa’ untuk kembali menghayati Rukun Negara terutama ketika melayari internet.

Rukun Negara pertama: 
Kepercayaan Kepada Tuhan

Bangsa dan negara ini diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Prinsip pertama ini harus ada pada setiap warganegara kerana kepercayaan beragama yang positif dapat mewujudkan keharmonian antara agama dan kaum.

Meskipun Perlembagaan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram.

Janganlah terlalu radikal dan ekstrem sehingga menghina agama lain menerusi komen-komen di media sosial. Tindakan seperti itu boleh mengundang perbalahan antara agama seterusnya menggugat keamanan negara.

Rukun Negara kedua: 
Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong diangkat sebagai Ketua Negara.

Institusi raja haruslah dihormati kerana ia merupakan lambang dan payung kedaulatan negara.

Namun, apa yang berlaku pada hari ini, perbuatan memperlekeh dan menghina raja seper­ti menjadi satu gejala di media sosial. Dalam konteks di negara ini, raja dan rakyat tidak boleh dipisahkan kerana raja umpama pohon dan rakyat itu adalah akarnya.

Sehubungan itu, wajar untuk rakyat melihat kembali sejarah tentang hubungan antara rakyat dan raja-raja serta peranan yang dimainkan institusi itu.

Selain instutusi raja, sistem dalam negara juga perlu dihormati termasuk kerajaan yang memerintah. Sekiranya tidak bersetuju dengan dasar-dasar kerajaan, tidaklah perlu sampai menyebar fitnah sehingga boleh menggugat keselamatan negara.

Rukun Negara ketiga: 
Keluhuran Perlembagaan

Prinsip ini menekankan perlu­nya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber perundangan tertinggi negara.

Rakyat perlu memahami sejarah Perlembagaan negara supaya tidak mudah terpedaya apabila terdapat pihak cuba memutarbelitkannya.

Semua yang terkandung dalam Perlembagaan termasuk soal hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, kedudukan raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama Persekutuan adalah satu kontrak sosial ber­asaskan kompromi antara kaum.

Tindakan individu dan pihak tertentu mempersoalkan perkara-perkara tersebut khususnya di media sosial tidak akan membawa sebarang kebaikan, mela­inkan hanya merosakkan keharmonian kaum dan agama.

Rukun Negara keempat: 
Kedaulatan Undang-undang

Negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur.

Kewujudan undang-undang menjamin kehidupan anggota masyarakat bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasa selamat.

Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas terma­suk kebebasan bersuara asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara yang diper­untukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk tidak menjadikan internet atau media sosial sebagai medium untuk menyebarkan fitnah, hasutan dan penghinaan yang boleh mengancam keselamatan negara serta masyarakat.

Jika undang-undang tidak didaulatkan, maka janganlah berharap untuk melihat negara ini berada dalam keadaan aman dan stabil.

Rukun Negara kelima: 
Kesopanan dan Kesusilaan

Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila sa­ngat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain terutama dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sekiranya mempunyai nilai-nilai baik tersebut, sudah tentu semua orang akan lebih beretika ketika melayari internet. Melontarkan kata-kata kesat, memaki-hamun, melakukan buli siber dan menyebar berita palsu hanya melambangkan ketidaktamadu­nan sesuatu bangsa.

Kesopanan dan kesusilaan perlu diamalkan dan disemat dalam diri setiap orang bagi membentuk individu yang ber­disiplin serta berakhlak tinggi sekali gus mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni.

Rukun Negara: Teras Kehidupan Bermasyarakat

Setiap rakyat yang mengaku warganegara Malaysia mestilah menjadikan Rukun Negara sebagai teras dan landasan hidup bermasyarakat.

Jangan lupa bahawa Rukun Negara telah membantu memulih­kan perpaduan rakyat Malaysia selepas keharmonian kaum tergugat akibat tragedi 13 Mei 1969.

Rukun Negara dirangka bukan sekadar untuk hiasan atau dihafal tetapi dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian setiap rakyat di negara ini.

Sempena Hari Kemerdekaan ke-60 ini, MCMC menyeru rakyat supaya menggunakan internet dengan lebih beretika dan penuh tanggungjawab.

Jadilah warga digital yang berintegriti dan amanah demi kesejahte­raan dan pembangunan negara.