Titah baginda, guru-guru disarankan agar sentiasa memberikan penekanan kepada aspek amali dan penyelidikan, di samping penekanan terhadap teori.

“Guru-guru seharusnya memainkan peranan untuk membantu membetulkan tanggapan kanak-kanak sejak dari sekolah rendah lagi bahawa mata pelajaran sains itu sukar dipelajari,” titah baginda.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘Jejak Prihatin’ anjuran bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dan Universitas Islam Riau (UIR) Indonesia dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang diadakan di Masjid Al-Ittifaqiah, Kampung Mengkuang Layar, Utan Aji, di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Dalam program edisi kedua bagi tahun ini, seramai 34 orang pelajar semester lima dan tujuh daripada jurusan Agroteknologi, Perniagaan, Pengurusan, Ekonomi, Teknologi Maklumat, Perancangan Bandar dan Sukan Rekreasi universiti tersebut menyertai program mobiliti pelajar di UiTM Cawangan Perlis selama tiga minggu mulai 1 hingga 27 Ogos ini.

Para pelajar yang berusia di antara 20 hingga 22 tahun itu terdiri daripada 16 lelaki dan 18 wanita, teruja kerana turut diberi kesempatan menyertai program berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali yang ke 59 bagi tahun 2018 sejauh 12 kilometer yang bermula dan berakhir di perkarangan masjid itu bagi mengiringi baginda.

Pada tarikh dan tempoh yang sama, seramai 34 orang pelajar UiTM Cawangan Perlis juga sedang menjalani latihan praktikal yang sama di UIR Pekanbaru.

Untuk rekod, pada sesi kayuhan kali ini seramai 120 orang lagi asnaf terpilih dalam kalangan anak-anak kariah Kg. Mengkuang Layar, Kg. Sentua dan Kg. Titi Beratap yang masing-masing menerima agihan zakat sebanyak RM600 dengan jumlah penuh daripada MAIPs pada kali ini sebanyak RM72,000. - UTUSAN ONLINE