Dalam masa sama, baginda juga menyarankan agar MAIPs memikirkan usaha-usaha terbaik untuk turut melibatkan pihak-pihak lain seperti pemimpin masyarakat di semua peringkat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan komuniti setempat agar turut sama mematuhi amanat berkenaan.

“Jika diteliti, amanat tersebut benar-benar lahir daripada lubuk hati baginda (Raja Perlis) sendiri berkaitan ajaran Islam di negeri ini merangkumi segenap urusan kehidupan bermula daripada rakyat biasa hinggalah kepada para pemimpin.

“Selain itu, ia juga merupakan sifat keadilan Islam terhadap kehidupan termasuklah kepada yang bukan beragama Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan Muqasyah Tujuh Amanat Raja Perlis dan Iftar bersama agensi agama Islam negeri ini di salah sebuah hotel, di sini semalam.

Berangkat sama pada majlis itu ialah, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan. Turut hadir, Pendakwah dari Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Irsyad Arab Saudi, Dr. Muhammad Marran Ar-Ruwaily.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mencadangkan agar satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mengukur sejauh mana keberkesanan terhadap pelaksanaan titah amanat yang berusia hampir setahun itu.

“Semua jabatan dan agensi bersama MAIPs diharap tanpa berbelah bahagi menjunjung titah amanat ini dan menjadikan kandungannya sebagai garis panduan dalam melaksanakan program dan aktiviti jabatan serta agensi masing-masing.

“Amanat ini juga hendaklah tidak sekadar dijadikan satu hiasan sebaliknya dijadikan satu penghayatan dan manifestasi hasrat dan keinginan baginda sendiri bagi menyaksikan fahaman Islam yang suci ini benar-benar difahami dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat di negeri Perlis,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE