Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, program tersebut memberi implikasi yang hebat terhadap budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam.

Sehubungan itu, baginda menyeru kepada seluruh umat Islam supaya menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam apa jua keadaan selain berharap amalan ini diteruskan pada masa-masa akan datang.

“Bagi beta penganjuran program ini amat baik bagi menilai sejauh mana hubungan dan interaksi kita dengan al-Quran dan melihat al-Quran sebagai panduan paling lengkap kehidupan. Selain itu, al-Quran mampu membentuk perilaku ummah seterusnya membentuk akhlak mulia dalam diri semua insan.

“Pada masa sama, seiringan dengan tema, serta kemuliaan dan keberkatan Ramadan ini, marilah kita berlumba-lumba membuat kebaikan dan mencari keredaan llahi.

“Dalam hal ini, membuat kebaikan tidak hanya terbatas kepada sesama manusia sahaja, tetapi konsep kebaikan yang luas merangkumi kepada segala isi kandungan alam ini termasuklah berbuat baik kepada haiwan dan sebagainya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli bersama lebih 400 peserta menyertai program World #QuranHour peringkat negeri ini di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam negeri, Azizi Janan.

Program yang dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri itu bermula tepat pada pukul 12 tengah hari dengan para peserta dipimpin oleh pegawai Institut Sunnah dan Irsyad (Isnad) Jabatan Mufti negeri, Mohd. Shahril Mohd. Shukri membaca surah al-Hujuraat.

Selain di masjid berkenaan, seluruh jabatan di negeri ini turut mengadakan program sama dengan kakitangannya meluangkan masa bersama kira-kira satu jam bagi membaca al-Quran.- UTUSAN ONLINE