Abdul Rahman Osman

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, bahagian itu juga diyakini dapat menangani isu berkaitan agama Islam dan perundangan syariah yang berbangkit di peringkat dalam negara dan antarabangsa.

“Kita sokong. Jika selama ini terdapat kes berbangkit di peringkat Persekutuan dan antarabangsa , kita tidak ada tempat untuk dirujuk. Kini boleh rujuk bahagian tersebut bagi kemaslahatan umat sejagat.

“Demi kepentingan agama Islam dan orang Islam maka penubuhan ini adalah wajar bagi keperluan masa kini,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan memaklumkan penubuhan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-undang telah dibuat bagi menangani isu-isu berkaitan agama Islam dan perundangan syariah yang berbangkit di peringkat Persekutuan dan antarabangsa yang dirujuk kepada jabatan itu.

Menurut kenyataan tersebut, penubuhan bahagian itu penting kerana akan menumpukan isu-isu syariah yang dirujuk berkaitan nasihat un­dang-undang, penggubalan dan penyelarasan undang-undang syariah dan ratifikasi sesuatu konvensyen antarabangsa yang mempunyai kesan kepada aspek syariah.

Selain itu, bahagian itu juga akan menumpukan kepada pengharmonian antara undang-undang sivil dengan undang-undang syariah bagi mengatasi konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil de­ngan mahkamah syariah.

Abdul Rahman juga berkata, bahagian itu juga boleh dimanfaatkan untuk memberi penerangan undang-undang berkaitan syariah agar tidak menimbulkan perpecahan mahupun konflik dalam isu-isu berkaitannya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, langkah tersebut seharusnya diwujudkan sejak dahulu lagi dan mahu bahagian itu berperanan dengan sebaiknya selari dengan fungsi dan matlamat penubuhannya.

“PGSM menyokong baha­gian itu ditubuhkan dan berharap bahagian tersebut mengambil pandangan daripada pelbagai pihak terma­suk mufti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan sebagainya dalam isu terten­tu dalam membuat sesuatu keputusan.

“Penubuhan bahagian ini turut dilihat baik bagi mengatasi masalah berkaitan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan syariah,” ujarnya.