Ekoran permintaan yang tinggi, kini setiap individu tanpa latar belakang perubatan berlumba-lumba menawarkan suntikan filler kepada para pelanggan dengan harga yang murah.

Carian menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram mendapati ratusan akaun menawarkan khidmat tersebut dengan harga sehingga serendah di bawah RM1,000.

Persoalannya, adakah pusat-pusat kecantikan, spa atau individu seumpama itu mampu memberi jaminan bahawa pe­langgan mereka bebas daripada berhadapan sebarang risiko komplikasi kesihatan?

Apa yang membimbangkan, kebanyakan golongan wanita sanggup menghadapi risiko semata-mata mahu mendapatkan penampilan diri yang lebih menawan pada harga yang terjangkau oleh mereka.

Mereka sanggup menyerah diri kepada pihak-pihak yang menggelarkan perunding kecantikan walhal prosedur suntikan filler hanya boleh dilakukan oleh pakar estetik atau doktor perubatan yang mempunyai tauliah serta sijil pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan.

Menurut kenya­taan da­lam laman web rasmi Kementerian Kesihatan, filler adalah bahan sintetik yang disuntik ke dalam lapisan dermis untuk memberi sokongan dalam lapisan tersebut.

Jelas kementerian itu, penggunaan bahan itu adalah meluas dalam bidang kosmetik kerana ia melibatkan prosedur kurang tindak balas.

Apa yang dikhuatiri kini semakin ramai ‘pakar suntikan kecantikan segera’ muncul manakala alat suntikan dan filler pula bebas dijual menerusi internet.