Menerusi penggunaan kod itu, orang ramai boleh mengetahui dengan serta-merta maklumat penting harumanis yang dijual oleh peniaga dengan hanya mengimbas menggunakan telefon bimbit.

Ketika mendedahkan inovasi dalam penjualan harumanis itu yang dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta, Pengarah Pertanian negeri, Zulkefli Amin Mat Jusoh ketika ditemui berkata, penggunaan Kod QR yang bakal dilancarkan tidak lama lagi itu akan dapat mengurangkan risiko penipuan dalam penjualan buah tersebut.

Katanya, dengan menggunakan Kod QR, orang ramai boleh mengetahui maklumat penting termasuk sama ada harumanis yang dibeli adalah tulen, lokasi ladang pengeluaran, tarikh berbuah dan tarikh masak.

Jabatan Pertanian Perlis perkenal Kod QR, sahkan ketulenan harumanis
CONTOH pelekat Kod Maklum Balas Pantas (Kod QR) yang ditampal pada mempelam harumanis di Pusat Kecemerlangan Harumanis di Sungai Batu Pahat di Kangar, Perlis. - UTUSAN ONLINE

Kata beliau, buat masa ini kesemua ladang milik jabatan itu di Sungai Batu Pahat di sini, telah menjalani tempoh percubaan menggunakan kod tersebut sejak tiga bulan lalu.

“Jabatan Pertanian negeri masih menjalankan perbincangan dengan pihak swasta terbabit untuk memasukkan maklumat-maklumat penting berkaitan buah termasuk gambar ladang dalam Kod QR ini.

"Dengan menggunakan Kod QR dapat mengurangkan risiko penipuan kerana kod ini tidak boleh diulang cetak atau ditiru oleh mana-mana pihak. Lebih menarik segala maklumat penting boleh diketahui pada masa pembelian,” katanya.

Menurut Zulkefli Amin, sekiranya berjaya kelak, pihaknya akan menggalakkan penggunaan Kod QR itu kepada para pekebun harumanis khususnya mereka yang memiliki sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

“Kita juga percaya menerusi Kod QR kualiti harumanis yang dikeluarkan terjamin sekali gus mudah menembusi pasaran luar negara pada masa depan,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE