Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan serta Pembangunan Insan negeri, Azman Nasrudin berkata, pihaknya juga pada masa sama telah mendapat maklumat pemborong yang cuba mengaut untung cepat melalui penjualan racun berkenaan di premis masing-masing.

Menurutnya, kebanyakan produk tersebut dijual secara gelap, malah terdapat penjual yang mencabut pelekat stiker di botol racun tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kita ada buat pengesanan siapa yang guna (racun itu) tetapi maklumat lanjut sedang diperoleh sebelum tindakan susulan seperti merampas bahan itu diambil.

"Malah, kita juga menyeru semua peladang dalam Kedah sekiranya mempunyai maklumat tentang penggunaan racun tak selamat ini, untuk memaklumkan kepada jabatan atau pihak berkaitan," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra Kepemimpinan Peladang dan Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah di sini, hari ini.

Program tersebut dirasmikan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Datuk Mazlan Aliman dan turut dihadiri Pengerusi PPN Kedah, Datuk Abd. Lateh Mohd. Saman.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Jamal Harizan Yang Razali mendedahkan keselamatan makanan negara berada dalam keadaan terancam apabila terdapat lambakan serius racun berkenaan di pasaran tempatan terutamanya negeri yang bersempadanan dengan negara jiran.

Sementara itu, Mazlan berkata, beliau dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang berusaha untuk membendung kegiatan tersebut yang dikhuatiri boleh menjejaskan keaslian tanaman dan membahayakan kesihatan manusia.

"Kementerian sedang mengumpul data, memang kita bimbang dan ambil maklum masalah ini, malah kita pun tidak mahu ia menular kerana kesannya amat besar termasuk menjejaskan peluang eksport seperti ke Singapura.

"Buat masa ini saya tiada maklumat sama ada terdapat atau tidak ahli Peladang yang menggunakan racun ini untuk kegunaan tanaman mereka tapi saya minta kerjasama semua ahli untuk membendung kegiatan ini," tegasnya. - UTUSAN ONLINE