Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaannya, Yasman Jamsir berkata, penganjuran pertandi­ngan itu mampu menjadi platform bagi pelajar meneroka sisi kreatif mereka dalam menghasilkan video berdurasi dua minit bertemakan muhibah mengikut kreativiti masing-masing.

Beliau berkata, pertandingan itu secara tidak langsung dapat membantu pelajar menyelami erti kata muhibah dalam pengisian masyarakat majmuk di negara ini.

“Ini merupakan satu platform untuk pelajar menterjemahkan kreativiti mereka dalam penghasilan klip video berkaitan muhibah. Jadi, kita akan menyebarluaskan mengenai pertandi­ngan ini ke semua sekolah supaya para pelajar dapat mengambil bahagian.

“Jabatan Pendidikan sememangnya menggalakkan pihak sekolah terlibat dalam aktiviti di peringkat kebangsaan bagi mendapatkan sijil yang menyumbang kepada markah 10 peratus untuk memudahkan mereka diterima masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Program Jerayawara #muhibah, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim .

Pertandingan video pendek itu akan berlangsung selama setahun bermula Januari tahun depan dan peserta perlu menghasilkan video bertemakan muhibah tidak lebih daripada dua minit selain perlu menyediakan penerangan menggunakan 50-100 patah perkataan.

Setiap bulan, pemenang akan dipilih daripada setiap kategori empat kaum terbesar, iaitu Me­layu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak dengan setiap pemenang menerima ha­diah wang tunai RM1,000.

Penganjurannya turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan serta syarikat swasta, Orando Holdings Sdn. Bhd., selaku penaja utama.