Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius dakwaan oleh subjek terhadap pegawai imigresen dan insiden yang didakwa berlaku tersebut.

“Jabatan Imigresen difahamkan subjek dan pegawai imigresen terbabit masing-masing telah membuat laporan polis dan telah memberikan segala butiran kejadian. Jabatan Imigresen akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dan pada masa yang sama akan menjalankan siasatan dalaman.

“Sebagai Ketua Pengarah Imigresen, saya akan memastikan Jabatan Imigresen sentiasa profesional dalam menjalankan tugas dan pada masa sama tidak akan berkompromi dengan apa juga unsur yang boleh menggugat keselamatan sempadan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Portal Malaysiakini hari ini melaporkan, seorang penyelidik politik dari Perancis, Sophie Lemiere mendakwa menjadi mangsa buli dan diugut para pegawai Jabatan Imigresen ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Isnin lalu.

Dia yang berada di negara ini bagi menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan mendakwa telah ditahan oleh seorang pegawai Jabatan Imigresen di kaunter jabatan agensi tersebut sejurus tiba dari Singapura.

Jelas Lemiere, pegawai tersebut memaklumkan kepadanya bahawa dia ditahan kerana namanya telah ditandakan berada dalam senarai polis.

Sementara itu, menurut Khairul Dzaimee, semakan awal di kaunter mendapati nama subjek termasuk dalam Senarai Syak (SL) dan pegawai imigresen telah mengikut SOP dan membawa subjek ke pejabat operasi Jabatan Imigresen untuk membuat semakan lanjut.

“Semakan lanjut mendapati nama subjek disenaraikan dalam SL oleh sebuah agensi penguatkuasa. Pegawai imigresen yang bertugas telah menghubungi wakil dari agensi penguatkuasan tersebut untuk tindakan selanjutnya dan cuba untuk memberikan penerangan situasi sebenar kepada subjek.

“Subjek mendakwa telah berlaku salah faham antara subjek dan beberapa pegawai imigresen di antara jurang masa beliau dibawa ke pejabat operasi hingga beliau dibenarkan memasuki negara ini,” katanya.