ABDULLAH MD. ZIN

Pengerusi IWM, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin berkata, kenyataan-kenyataan G25 yang kononnya mendukung pendekatan wasatiyyah telah mengelirukan masyarakat kerana kumpulan berkenaan secara nyata mempromosikan amalan li­beralisme yang ekstrem.

Beliau yang juga Penasihat Agama kepada Perdana Menteri menambah, tindakan G25 jelas bertentangan dengan wasatiyyah dan maqasid syariah apabila mempertikaikan kesalahan khalwat dan minum arak, mempersoalkan kedudukan institusi-institusi agama Islam, menyokong kegiatan les­bian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan menolak hukum hudud.

“Fahaman mereka adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam sebenar dan saya juga tidak yakin mereka benar-benar memahami pengertian sebenar wasatiyyah dan maqasid syariah.

“Sehubungan itu, G25 tidak wajar cuba berselindung dengan menyalah tafsir wasatiyyah kerana apa yang dipromosikan oleh mereka bukannya kesederhanaan tetapi liberalisme yang ekstrem sehingga memesongkan agama Islam sebenar,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagang­an Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau mengulas mengenai kontroversi-kontroversi yang seringkali ditimbulkan oleh G25 terma­suk mencadangkan pemansuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta menggesa penubuhan sebuah jawatankuasa perunding bagi membincangkan untuk meminda atau memansuhkan beberapa undang-undang syariah.

Menurut Abdullah, tafsiran wasatiyyah tidak memadai dengan kesederhanaan sahaja kerana maksudnya dalam bahasa Arab turut merangkumi keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan.

Katanya lagi, agenda G25 juga tidak menepati maqasid syariah yang memberi penegasan kepada masyarakat Islam menjaga agama, akal, keturunan, harta dan nyawa.

Beliau memberitahu, sekiranya G25 masih berterusan mengelirukan pemikiran masyarakat Islam, beliau menyeru mufti-mufti di seluruh negara untuk mengeluarkan fatwa bagi menyekat pemikiran berkenaan.

“Sekiranya masalah kekeliruan ini telah sampai ke peringkat menggugat kedudukan pihak berkuasa agama Islam, saya berpendapat pihak yang berwajib perlu menyekat mereka,” katanya.