Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, perhimpunan itu tidak akan sesekali menggugat perpaduan tetapi sebaliknya bagi mempertahankan asas pembinaan termasuk kontrak sosial yang menjadi tiang seri dalam pembentukan negara.

‘‘Ingat, kita berhimpun ini sebagai satu isyarat rakyat bahawa kita rakyat Melayu, Cina, India, Kadazan dan apa bangsa sekali pun yang hidup harmoni aman damai tiada masalah, tolong jangan buat masalah dalam negara ini.

‘‘Jangan cetuskan masalah dalam negara ini, himpunan kita bukan himpunan untuk menggugat perpaduan tetapi sebagai isyarat bahawa kita tidak perlu negara luar untuk mengurus urusan dalam negara kita ini,’’ katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Perpaduan Kesa­tuan Ummah Negeri Pahang di Dataran Temerloh di sini malam semalam.

Yang hadir sama, Naib Presi­den UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohd. Shahar Abdullah; Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar; Ketua Muslimat Pas negeri, Salamiah Mohd. Nor; Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Timbalan Pengerusi Ummah Malaysia, Kamaruzzaman Mohamad.

Lebih 4,000 orang hadir dalam program yang bermula dengan solat maghrib dan ber­akhir pukul 11.15 malam.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, tiada sebarang elemen provokasi dibenarkan dalam perhimpunan tersebut dan semua yang hadir diminta mera­kam tindakan provokasi mana-mana individu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, perhimpunan itu me­nunjukkan kesatuan orang Me­layu dan bumiputera khususnya antara UMNO dan Pas, sekali gus memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya jangan menguji kesabaran orang Melayu dan Islam.

“Kita hendak beri amaran kepada mereka, cukup-cukuplah, orang Melayu memang mempunyai toleransi yang tinggi tetapi jangan cuba uji kesabaran kita, jangan himpit kita hingga sampai ke dinding kerana kalau kita terhimpit akhirnya orang Me­layu bangkit dan tidak akan biarkan mereka yang cuba menghina Islam dan Melayu ini,” tegas beliau.