Naib Yang Dipertuanya, Anizam Wan Hassan berkata, Parlimen Segamat dipilih sebagai lokasi demonstrasi ekoran kawasan tersebut merupakan kerusi Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

“Perkasa percaya bahawa Zakir dituduh begitu kerana ada pihak yang iri hati dan cemburu terhadap dirinya kerana berjaya menyebarkan dakwah Islamiah dengan berkesan.

“Kami juga membantah se­ke­ras-kerasnya kenyataan Bendahari MIC, Datuk Vell Paari yang dianggap biadap terhadap Perkasa dan menghina Zakir. Kami menuntut beliau memohon maaf secara terbuka kepada Perkasa dan Dr. Zakir,” katanya ketika ditemui.

Beliau meminta Subramaniam mengambil tindakan tatatertib terhadap Vell Paari kerana kenyataannya disifatkan sebagai tuduhan rambang terhadap Perkasa dan pendakwah antarabangsa tersebut.

Katanya, kerajaan Malaysia ju­ga sudah mengiktiraf sumbangan Zakir kepada perkembangan Islam di negara ini dengan memberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 2013 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong.

“Sekiranya Zakir terlibat militan Daesh, mustahil kerajaan Malaysia memberinya anugerah tersebut dan beliau juga diberikan status penduduk tetap (PR) Malaysia sejak lima tahun lalu. Tindakan Vell Paari jelas mahu menghasut umat Islam di negara ini.

“Kami (Perkasa) akan mengadakan demonstrasi sama di seluruh negeri dalam masa terdekat dan kami juga isytiharkan perang terhadap MIC dan Hindraf,” katanya.