Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, isu salib tersebut sudah lama tular dalam media sosial dan dikecam warganet sehingga ditegur Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

"Pas mendesak menteri agama (Mujahid) tegas membendung perkara ini. Jangan terlalu bertahan sehingga beliau dilihat lemah untuk mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mujahid dilaporkan berkata beliau masih menunggu laporan daripada kerajaan negeri dan pejabat Mufti Pulau Pinang mengenai bangunan perumahan di Jelutong yang didakwa memaparkan lambang salib.

Kata Nasrudin, kenyataan menteri dilihat tidak tegas dan berdolak dalih serta mengecewakan hati umat Islam di Malaysia khususnya di Pulau Pinang.

Tambahnya, Pas turut meneliti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan pihak pemaju, Nova Mulia Development Sdn. Bhd. beberapa hari lalu.

Namun beliau menganggap kenyataan yang diberikan cuba memperbodohkan rakyat.

"Setelah beberapa minggu gambar salib ditularkan, sekarang mereka mendakwa ia adalah abjad bahasa Cina yang bermaksud wang atau nasib baik.

"Mereka cuba mencetuskan provokasi dan ketegangan kaum serta agama di Malaysia. Lambang salib sebesar itu sengaja dipaparkan, walhal mereka perlu menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini," katanya

Pada masa sama, Nasrudin mendakwa pengasas dan pengarah urusan pemaju projek berkenaan ialah seorang yang aktif terlibat dengan Nehemiah Project dan giat mempromosikan agenda kristianisasi. - UTUSAN ONLINE