Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan kerajaan negeri menarik balik saman tersebut adalah muktamad dan perkara itu telah disahkan menerusi pengumuman Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sendiri, Oktober lalu.

Bagaimanapun, proses selanjutnya seperti pengeluaran notis rasmi dan urusan lain termasuk bahagian teknikal di mahkamah diserahkan sepenuhnya kepada Tommy yang secara kebetulan kini dilantik menjadi Peguam Negara.

“Selepas buat keputusan tarik balik saman, ke­rajaan negeri me­ngarahkan peguam kita, Tommy untuk ambil tindakan lanjut di mahkamah serta berhubung dengan pihak terbabit iaitu kerajaan Pusat dan Petronas.

“Keputusan ini sudah lama kita buat, arahan pun sudah lama kita keluarkan iaitu dua bulan lepas. Jadi saya tidak pasti apa status sebenar dan kita perlu rujuk kepada peguam kerana dia yang uruskan perkara itu termasuk bahagian teknikal di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar selepas meng­hadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat Kakitangan Petronas (Bakip) yang melibatkan 330 pelajar golongan asnaf di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd. Hasnan Abdullah.

Semalam, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Rad­zi Md. Jidin mendedahkan, pihaknya dan Petronas masih be­lum menerima sebarang notis pe­narikan balik saman oleh Kerajaan Pas Kelantan berhubung tuntutan royalti petroleum yang difailkan di mahkamah pada 2011.