"Malaysia dan Indonesia perlu mengetengahkan isu ini terutama apabila Myanmar nampaknya kelihatan tidak terlibat secara langsung untuk cuba menyelesaikannya.

"Myanmar perlu difahamkan bahawa Rohingya adalah masalah mereka tetapi kini kita terpaksa terima pelarian yang datang dari negara mereka,'' tegas beliau pada sidang media di sini, petang ini.

Terdapat sekurang-kurangnya 14,000 pelarian Rohingya di Malaysia ketika ini. Masalah itu mula melarat ke Indonesia apabila etnik berkenaan turut mendarat di negara itu sejak kebelakangan ini.

Menurut Rais, isu berkenaan perlu dibincangkan kerana terdapat trend yang menyaksikan semakin ramai etnik itu meninggalkan wilayah Myanmar dan seolah-olah terdapat satu 'dorongan' untuk mereka berbuat demikian.

"Keadaan itu menimbulkan tanda tanya. Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kita mahu Myanmar memberi penjelasan dan lebih terbuka dalam isu ini,'' katanya.

Kata Rais, sekiranya masalah itu tidak diselesaikan dalam masa terdekat, ia akan menjadi masalah global kerana etnik berkenaan akan turut ke negara-negara lain.

"Kita percaya isu itu boleh diselesaikan secara kolektif dan positif. Kalau masyarakat dunia turut prihatin, maka ia lebih mudah diatasi,'' jelasnya lagi.