Menerusi status terbaharu dalam akaun Tweeternya hari ini, putera sulung Sultan Johor itu turut melahirkan rasa hairan mengapa isu berkenaan dipolitikkan.

“Saya yakin apapun keputusan Kebawah Duli Tuanku dan kerajaan negeri adalah yang terbaik untuk kepentingan dan kedaulatan Johor,” tulisnya dalam Tweet tersebut.

Semalam Tunku Ismail berkata, Pulau Kukup akan diubah status menjadi tanah kesultanan dan langkah itu supaya kawasan itu akan lebih terjaga dan dilindungi selepas statusnya diubah.

Sebelum ini satu salinan Warta Kerajaan Johor berhubung pembatalan perizaban Pulau Kukup sebagai Taman Negara bertarikh 24 September lalu kini mula tersebar dalam laman sosial.

Menurut Warta Kerajaan Johor itu, pembatalan keseluruhan kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Taman Negara Pulau Kukup itu berdasarkan kuasa diberi mengikut Subseksyen 3 (3) Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor (1989).

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

Usul berkenaan diluluskan oleh Speaker DUN, Suhaizan Kaiat selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). - UTUSAN ONLINE