Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim berkata, perlu diingat lebih 70 peratus golongan muda adalah mereka yang memberi sokongan kepada PH dalam pilihan umum lalu dan jangan sesekali mengecewakan serta menekan golongan ini.

Dalam masa sama, beliau juga berharap, agar janji mengenai penangguhan bayaran sehingga gaji mencecah RM4,000 terhadap peminjam PTPTN yang terkandung dalam manifesto pilihan raya lalu dapat diteruskan.

“Jika tidak boleh laksanakan, PTPTN perlu menyediakan satu mekanisme baharu yang tidak membebankan peminjam. Jangan bebankan lagi rakyat khususnya anak muda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, PTPTN dilaporkan mungkin akan memperkenalkan semula sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman jika perkara itu dimahukan orang ramai.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd Khalid, agensi itu sedang melihat beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan.

Mastura dilaporkan berkata, ini termasuk cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

Sebelum ini, pada 26 Jun, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengumumkan sekatan perjalanan terhadap peminjam yang ingkar ditarik balik dan sebanyak 429,945 peminjam PTPTN yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen turut dibatalkan. - UTUSAN ONLINE