DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, sekiranya terlalu banyak janji manis politik yang diberikan khususnya mengenai isu pinjaman pendidikan, perkara itu seolah-olah memberi isyarat kepada peminjam bahawa tidak salah untuk mereka melengah-lengah untuk membayar balik pinjaman yang telah dibuat.

Katanya, akhirnya perkara itu akan mengakibatkan mereka menjadi individu yang tidak bertanggungjawab serta individu sambil lewa terutamanya dalam pengurusan kewangan pada masa hadapan kelak.

“Tidak salah sekiranya kita lantang bersuara untuk membantu para peminjam pendidikan melunaskan segala hutang mereka dengan memudahkan proses pembayaran balik pinjaman.

“Namun satu perkara pokok yang paling penting dalam perkara ini ialah setiap daripada mereka perlu diberitahu dengan tegas bahawa setiap hutang yang dibuat perlu dibayar balik mengikut perjanjian yang telah dibuat tanpa berlengah-lengah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE