Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan bertemu dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri mengenai perkara tersebut selain merundingkan semula soal keselamatan pembantu rumah dari negara itu di Malaysia.

“Saya agak terkilan jika benar mengikut laporan media Indonesia bahawa negara itu akan menghentikan penghantaran pem­bantu rumah disebabkan kes terpencil yang berlaku penderaan terhadap seorang pembantu rumah.

“Saya akan bertemu dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri mengenainya. Malaysia mempunyai prosedur standard operasi (SOP) yang harus dipatuhi oleh majikan dan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana majikan yang me­lakukan penderaan," katanya dalam sidang akhbar selepas program Walkabout Bagan Datuk Water Front di sini hari ini.

Pada 11 Februari lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didera majikannya di sebuah rumah di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang Adelina Lisao, 26, meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Menurut Ahmad Zahid, atas nama kemanusiaan, kerajaan tidak akan pernah menyembunyikan sebarang fakta atau melindungi mana-mana majikan yang melakukan penderaan terhadap pembantu rumah.

Menurutnya, pendakwaan akan dilakukan dan pengadil­an akan dibuat di negara ini dan beliau mahu mahkamah tidak berkompromi dari segi soal pen­deraan ini.

“Kita harap bakal-bakal pembantu rumah dari Indonesia dan kerajaan Indonesia harus melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berbeza dengan tindakan-tindakan yang pernah kita lakukan dalam kes penderaan pembantu rumah dari negara Indonesia.

“Secara relatifnya saya telah melihat data-data dari segi penderaan pembantu rumah. Walaupun ada kes di Malaysia, namun kadarnya atau peratusannya adalah terendah berbanding beberapa negara lain. Ertinya kita mengambil kepedulian terhadap majikan yang mendera pembantu rumah dari Indonesia," katanya.

Ahmad Zahid juga meminta perjanjian SOP keselamatan di antara pembantu rumah asing dan majikan dikaji semula dan diperkemaskan untuk mengelak kes sama berulang.