Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan wakil Israel ke negara ini bagi menghadiri sebarang acara dan menjadi tuan rumah kepada apa-apa acara melibatkan rakyat Israel adalah kerana prinsip menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Saya faham ada penghujahan kenapa sukan diheret dalam kancah politik, tetapi dalam isu Palestin bukan soal politik yang biasa ia luar daripada kebiasaan.

“Sebaliknya kita pula boleh mengatakan mengapa sukan dipolitikkan untuk menjustifikasi apa sahaja dilakukan oleh Israel,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran jurnal, ‘Current Southeast Asian Affairs Special Issue, The 2018 Malaysian General Election: The Return of Mahathir and the Exit of UMNO’ di Universiti Sunway, di sini hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) menarik hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat selepas Malaysia gagal memberi jaminan akan mengeluarkan visa buat perenang Israel.

Sementara itu, tambah Saifuddin, melihat kepada sejarah, Israel juga pernah mengharamkan atlet Palestin daripada mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti tertentu.

“Pada saya, pokoknya, keputusan Malaysia dibuat atas prinsip yang jelas sebagai sokongan terus menerus kepada perjuangan rakyat Palestin. Kebetulan, ia melibatkan sukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE