RAIS YATIM

Tokoh sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, beliau tidak bersetuju terhadap mana-mana individu mengatakan perkara tersebut adalah remeh dan tidak perlu diberikan perhatian.

“Saya lihat dari sudut bahasa kebangsaan, kerajaan hari ini tidak nampak kuat dalam faktor memperkasakan supaya ia tidak diperkotak-katikkan mana-mana pihak.

“Seolah-olah ke­nya­taan sensitif yang dibuat sama ada Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran atau Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terlepas begitu sahaja.

“Kalau itulah keadaannya, ini bermakna Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan tidak diambil peduli oleh kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas temu bual eksklusif Mingguan Malaysia dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana Presiden PKR itu menekankan mengenai kegusaran orang Melayu terhadap isu sensitif yang timbul sejak Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Rais berkata, bagi menjaga kontrak sosial yang dibuat orang terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik perlu tegas dan faham bahawa pendidikan memainkan peranan sangat penting.

“Kunci masa depan kontrak sosial adalah pendidikan. Kalau sistem pendidikan kita ‘goyah’ dan terlalu banyak jurusan rasmi seperti Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan lain-lain yang menuntut, ini akan melemahkan.

“Rakyat perlu memahami bagaimana terbentuknya kontrak sosial yang dibuat dahulu untuk diterima pakai sebagai tulang belakang pentadbiran negara, bukan sekadar bercakap,” katanya.