puva
H. Puvaniten

Ketua Biro Perpaduan Nasional Gerakan, H. Puvaniten berkata, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui status kemasukan pelajar-pelajar berkenaan apabila isu ini telah menjadi kontroversi.

"Jangan cuba kelirukan rakyat dengan pelbagai alasan seperti “on-off” dan kemasukan marikulasi kali ini diutamakan kepada golongan B40.

“Kemukakan rekod berkenaan. Kami ingin melihat rekod berkenaan. Apakah benar kemasukan kali ini mengambil kira golongan di bawah B40 yang mempunyai keputusan cemerlang. Adakah perangkaan yang diberikan itu betul?

"Berapa pelajar-pelajar yang telah mendaftar mengikut kuota yang diperuntukan? Siapa yang memenuhi kouta pelajar yang tidak mendaftar dan tunjukkan bukti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Puvaniten berkata, isu ini tidak harus diperbesarkan lagi dari awal sekiranya PH mengekalkan kuota yang sedia ada sebelum ini.

Kata beliau, perubahan angka pengambilan sudah pun berlaku sejak tahun 2012 dan ia bukan soal ‘on off’ pada tahun 2018 sahaja.

"Pengambilan sebanyak 1,500 tempat telah ditawarkan secara tetap dan telahpun bermula sejak tahun 2012. Perangkaan ini naik ke 2,200 di atas keperluan 7 peratus hasil Malaysian Indian Blue Print," katanya.

Puvaniten turut mempersoalkan kewajaran alasan dasar pengambilan program matrikulasi bagi 2019 memperuntukkan 60 peratus tempat kepada golongan berpendapatan rendah (B40), 40 peratus tempat diperuntukkan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan golongan berpendapatan tinggi (T20).

“Sejak bila kita mempunyai polisi pengambilan sedemikian di dalam kemasukan matrikulasi? Bukankah pendidikan adalah suatu yang umum yang patut diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang.

"Maka, apa jadi dengan status pelajar-pelajar cemerlang ini? Jangan jadikan pelajar-pelajar ini mangsa keadaan berikutan perubahan polisi,” katanya. - UTUSAN ONLINE