Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi berkata, perkara itu ditekankan ketika kunjungan hormat beliau kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Laskar Merah Putih di negara jiran itu.

Katanya, selain menjalinkan silaturahim, tujuan pertemuan itu ialah bagi mendapatkan maklum balas mengenai demonstrasi di Kedutaan Malaysia di Jakarta baru-baru ini berikutan isu bendera Indonesia dicetak terbalik pada penganjuran Sukan SEA di sini.

“Saya menghormati pendirian mereka berkaitan demonstrasi tersebut namun percaya hubungan baik antara Malaysia-Indonesia mesti dikekalkan kerana kedua-dua negara mempunyai akar serta budaya yang sama. Malah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sudah meminta maaf secara terbuka.

“Tiada keputusan atau persefahaman rasmi yang dimeterai pada pertemuan tersebut kerana itu adalah lawatan silaturahim selaku Ahli Parlimen. Namun saya tekankan bahawa sebarang isu melibatkan dua negara perlu dibincang melalui saluran diplomatik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

habis..