Bagaimanapun Amirudin berkata, atas prinsip menjunjung kedaulatan undang-undang tapak tanah seluas 0.4 hektar dan wang pampasan RM1.5 juta yang telah diberikan oleh pemaju haruslah dipulangkan semula.

"Kerajaan negeri menyambut baik kenyataan Peguam Negara berkenaan isu Kuil Seafield dan bersetuju dengan penyelesaian dicadangkan Peguam Negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri berpandangan tapak tanah 1 ekar (0.4 hektar) dan wang pampasan RM1.5 juta yang telah diberikan pemaju harus dipulangkan semula sebagai sebahagian daripada penyelesaian dicadangkan Peguam Negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tommy Thomas melalui kenyataan semalam memaklumkan, tertakluk kepada terma dipersetujui, One City Development Sdn. Bhd., akan memindah hak milik plot tanah seluas 0.4 hektar yang menjadi tapak Kuil Sri Maha Mariamman kepada pemegang amanah yang diuruskan Mahkamah Tinggi.

Jelasnya lagi, Mahkamah Tinggi akan melantik pemegang amanah daripada seorang yang mempunyai reputasi yang baik dan berintegriti serta boleh diterima semua pihak bertelagah sebagai pegawai mahkamah yang mempunyai kawalan terhadap pemegang amanah kuil.