Kenyataan tersebut ekoran laporan sebuah akhbar tempatan mengenai kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), YB Tuan Gobind Singh Deo, berkenaan ketirisan dana yang disalurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada FINAS.

Fauzi berkata, FINAS memandang serius terhadap sebarang aduan yang telah dilakukan dan sedia bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani masalah ini.

“Seperti dimaklumkan dalam artikel tersebut, beberapa laporan kepada SPRM telah wujud sebelum ini berkaitan dengan ketirisan dana dan YB Gobind sendiri telah menulis surat kepada pihak SPRM untuk mendapatkan maklum balas berhubung status siasatan yang telah dijalankan.

“Pihak FINAS melalui Bahagian Kewangan, Unit Integriti serta Unit Audit Dalam FINAS telah mengambil inisiatif dengan menggerakkan pasukan jawatankuasa ‘task force’ untuk menyiasat secara dalaman sekiranya wujud unsur penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak dalaman FINAS sendiri berkaitan pengurusan dana.

“Justeru, FINAS sentiasa bekerjasama erat dengan pihak berkuasa bagi terus memastikan FINAS bersih dari sebarang unsur-unsur negatif yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Fauzi turut menjelaskan bahawa FINAS kini dalam fasa pemerkasaan pembangunan organisasi dan perkhidmatannya dengan hala tuju yang lebih fokus seiring dengan saranan dan amanat menteri dan pihak KKMM sendiri.

“Selaras dengan visi YB Menteri sendiri bagi industri filem menjana kecemerlangan sehingga ke peringkat antarabangsa, FINAS optimis untuk terus memperkasakan strategi dan fungsi selaras dengan peruntukan Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan 2013).

“FINAS sentiasa komited untuk melaksanakan penjenamaan organisasi yang sentiasa berpandukan kepada sistem tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan yang bersih, cekap dan amanah,” katanya. - UTUSAN ONLINE.