Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abdul Razak berkata, elaun khas itu perlu kerana guru-guru di kawasan bandar berhadapan dengan pelbagai tekanan terutama kos sara hidup yang tinggi berbanding dengan mereka yang bertugas di luar bandar.

Katanya, jika kementerian boleh memberikan elaun khas kepada guru-guru yang mengajar di pedalaman seperti di pulau-pulau terpencil dan di Sabah serta Sarawak, elaun yang sama juga perlu diberikan kepada guru-guru yang mengajar di kawasan bandar.

“Di bandar murid yang perlu dikendalikan dalam kelas oleh seorang guru ramai, ada yang lebih 40 orang ini memberi tekanan kepada guru.

“Ibu bapa di bandar juga lebih agresif yang memberi cabaran kepada guru untuk berhadapan dengan mereka, malah guru di bandar kerja lebih banyak tetapi tidak ada pembantu guru,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Kamarozaman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malek mengenai kekurangan guru dibandar-bandar besar yang semakin serius terutamanya di Johor dan Selangor.

Menurut Dr. Maszlee, beberapa inisiatif seperti menaikkan elaun kos sara hidup dan meramaikan lagi anak tempatan menjadi guru sedang dalam peringkat kajian oleh Kementerian Pendidikan.

Sambil mengakui kenyataan Dr. Maszlee itu, Kamarozaman berkata, sebab itu mereka yang mengajar di bandar perlu diberikan motivasi melalui elaun sara hidup itu untuk menggalakkan mereka terus kekal mengajar di kawasan bandar.

“Di bandar kos sara hidup lebih tinggi berbanding luar bandar seperti untuk hantar anak ke pusat asuhan dan rumah yang mahal, ini semua adalah penyebab kekurangan guru-guru yang ingin mengajar di bandar berbanding pedalaman,” katanya.

Sebagai contoh katanya, kekurangan guru-guru di bandar seperti Pasir Gudang dan Shah Alam adalah disebabkan kos hidup yang tinggi.

“Tekanan kerja seperti lebih ramai murid yang perlu diberi perhatian dan kos hidup tinggi di bandar adalah penyebab kekurangan guru-guru yang ingin mengajar di bandar berbanding pedalaman.

“Kementerian pendidikan perlu mengkaji semula perkara ini kerana terdapat beberapa negeri seperti Kelantan dan Terengganu yang tidak mengalami masalah tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, elaun kos sara hidup bandar perlu dinilai semula agar guru-guru tidak terbeban dengan ekonomi semasa. - UTUSAN ONLINE