Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, konflik yang berlaku di Marawi, Filipina menjadi salah satu punca tercetusnya kebimbangan unsur pencerobohan puak militan dari kawasan itu ke tempat lain termasuk ke negara ini bagi mencari perlindungan atau meluaskan pengaruh.

“Apa yang menjadi keutamaan pada kami adalah bagaimana mahu menangani dan menyelesaikan isu berkaitan militan dan pengganas.

“Inilah persoalan yang akan dirungkai dalam forum sepanjang DSA 2018 bersama-sama pe­mimpin dari negara lain termasuk Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan di ruang pameran DSA 2018 di sini hari ini.

Lebih 1,500 pempamer dari 60 buah negara terlibat dalam pameran tersebut yang diadakan buat kali ke-16 membabitkan penyertaan pelbagai syarikat antarabangsa seperti MBDA, BAE System dan Thales.

DSA yang mula dianjurkan pada 1988 merupakan pameran statik peralatan dan teknologi pertahanan, sistem persenjataan dan penyelesaian keselamatan generik terkini bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan keselamatan negara-negara Asia Pasifik.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, syarikat pertahanan antarabangsa yakin dengan kemampuan Malaysia sebagai salah sebuah negara strategik hab penjualan dan pasaran senjata di rantau Asia Tenggara pada masa hadapan.

“Saya turut gembira melihat penyertaan pelbagai negara. Lihat Turki yang mempunyai ruang pameran yang besar. Ini menunjukkan mereka yakin de­ngan kita.

“Malaysia juga menjadi negara strategik dan penting kepada syarikat terbabit untuk meluaskan pasaran mereka nanti,” ujarnya.