Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada masa sama, pihaknya juga telah memansuhkan kuota mengimport ternakan hidup sejak setahun lalu.

Katanya, langkah itu bertujuan untuk memenuhi keperluan permintaan tempatan khususnya terhadap daging lembu selain mengawal harganya daripada melonjak pada musim perayaan.

“Sesiapa sahaja kini bebas mengimport (ternakan) tanpa kuota tetapi haruslah patuh soal berkaitan kesihatan haiwan.

“Mereka (pengimport) masih dikenakan bayaran untuk permit mengimport tetapi dalam kadar yang rendah,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat premis kuarantin Ladang Agro AMD Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kua­rantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Mokhtarud-din Husain.

Premis itu adalah antara 10 buah tempat kuarantin haiwan diimport milik swasta yang diselia di bawah MAQIS bersama enam lagi milik kerajaan di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery kesal terhadap dakwaan kementeriannya lewat menyampaikan bantuan sehingga ada ternakan milik penduduk di sebuah negeri di pantai timur terperangkap dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Sebenarnya, pemilik (ternakan) sendiri yang enggan memindahkan haiwannya walaupun dinasihatkan pasukan keselamatan kerana yakin air tidak naik.

“Namun selepas terperangkap, orang lain yang mengambil gambar (haiwan terperangkap) lalu mendakwa kita lepas tangan,” katanya.