Timbalan Pre­siden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sememangnya ada kebaikan yang terserlah di sebalik isu bantahan terhadap ICERD kerana ia berjaya me­nyatukan suara orang Melayu.

“Dalam saat-saat kepenti­ngan kita tergugat maka orang Melayu sudah sedar dan bangkit mahu melihat kepentingan bangsa dan agama dipertahankan, walaupun ada perbezaan politik dan fahaman.

“Ada hikmahnya ICERD ini, ia dapat menyedarkan kita bahawa perlu bersatu dan bersama-sama untuk tujuan dan kepentingan bersama,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Mari Berselawat Sempena Sambutan Maulidur Rasul, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri, Latteffah Aliyaru Kunju.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Pe­ngerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, tidak ada jaminan kerajaan Pakatan Harapan akan menunaikan janji membatalkan ICERD.

Beliau berkata, sebelum ini banyak janji di­buat kerajaan gagal ditunaikan dan ini menyebabkan rakyat sudah hilang keyakinan sama ada ICERD benar-benar akan dibatalkan.

“Saya harap kerajaan me­ngotakan apa yang dicakapkan. Kita tak puas hati kalau setakat cakap untuk batalkan ICERD. Sebab itu ada gesaan supaya ia disebut dalam Parlimen, supaya ia dijadikan hansard Parlimen.

“Kalau cakap saja boleh pusing, tambahan lagi sekarang kita amat tak percaya dengan cakap saja. Kerajaan boleh buat kenyataan batal ICERD, esok dia kata kenyataan itu tak boleh pakai,” katanya.