Katanya beliau telah menyerahkan butiran berkenaan dua gred berkenaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

"Masih belum dibincang tetapi sudah dimaklumkan kepada timbalan perdana menteri bentuk, jumlah keseluruhan (gred) dan akan dibincangkan dalam Kabinet nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen dan Apresiasi Sekolah Kiblah di sini,pada hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga penasihat tetap Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata isu gred pentadbir di sekolah rendah khususnya guru besar dan penolong kanan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet ekoran permintaan tangga gaji sedia ada dikaji semula untuk perjawatan tersebut. 
Yang Dipertua Majlis Guru Besar (MGB) Perak, Rustam Affandy Abdul Aziz sebelum ini menyuarakan permohonan agar kerajaan mempertimbang gred jawatan pentadbir di sekolah rendah disamatarafkan dengan jawatan kenaikan pangkat di sekolah menengah iaitu DG52 bagi guru besar dan DG48 bagi guru penolong kanan.

Menurutnya, pada ketika ini, guru dilantik ke jawatan guru besar kekal di gred jawatan disandang iaitu DG34 dan hanya diberi elaun sebanyak RM200 manakala guru penolong kanan, kekal di gred hakiki DG32 dengan menerima elaun sebanyak RM60 sedangkan pada masa kini mereka adalah guru-guru siswazah.

Berhubung Sekolah dan Maahad Kiblah, Mahdzir berkata kecemerlangan institusi pendidikan swasta itu harus dicontohi sekolah agama swasta lain.

"Mereka bukan hanya menyediakan pengajian hafazan Al-Quran tetapi turut memberi sistem pendidikan akademik yang disediakan Kementerian Pendidikan dan juga latihan vokasional kepada para pelajar... ini harus dicontohi sekolah agama swasta yang lain, " katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata Sekolah dan Maahad Kiblah baru-baru ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Imam Muhammad Ibn Saud di Riyadh, Arab Saudi bagi pembinaan pusat linguistik.

"MoU ini merupakan putik kejayaan sekolah ini sekaligus mengembangkan pilihan pengajian yang ditawarkan sekolah ini," katanya. - BERNAMA