Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, isu berkenaan antara 40 kertas kerja yang dibentang serta dibincangkan perwakilan sebelum dijadikan resolusi dan diangkat ke peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun jelas beliau, isu penggabungan koperasi yang dicadangkan beberapa negara ter­sebut tidak dapat dipersetujui kerana bertentangan dengan prinsip koperasi yang autonomi dan demokrasi.

“Koperasi ialah satu pertubuhan yang dianggotai oleh sekumpulan tertentu untuk kepentingan mereka. Jika terdapat gangguan dari luar, maka sistem koperasi sudah tidak asli.

“Selain itu, ada cadangan untuk membenarkan bukan anggota koperasi menjadi ahli dengan tujuan untuk menambah modal. Perkara ini juga tidak dipersetujui kerana koperasi perlu dianggotai individu dan campur tangan itu akan menghilangkan identiti koperasi,” katanya dalam sidang akhbar sempena ICAKL 2017 dekat sini hari ini.

Menurut Abdul Fattah, koperasi perlu diuruskan oleh individu kerana gabungan pihak luar mungkin akan menjejaskan gerakan serta menghapuskan kuasa murni koperasi.

Jelasnya, perkara itu tidak men­jadi masalah sekiranya dila­kukan di peringkat gabungan se­perti syarikat milik kerajaan (GLC).

Tambah beliau, delegasi yang hadir juga membincangkan tentang peranan koperasi dalam menjaga kesejahteraan dan kepentingan masyarakat sejagat, khususnya pelarian etnik Ro­hingya.

“Seperti di Malaysia, orang luar tidak boleh menjadi ahli koperasi tetapi dalam konteks pembentukan syarikat, orang luar boleh menubuhkannya. Jadi perkara itu perlu dilihat,” ujarnya.