Pegawai Tugas-Tugas Khas II kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhazmi Sharif berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan SPRM melakukan siasatan terhadap pencerobohan yang berlaku semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, dua lot tanah milik kerajaan itu diceroboh oleh sebuah syarikat yang mendakwa diberi kelulusan oleh individu tertentu dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui perjanjian pada 2015 dan struktur binaan mula dibuat pada 2017.

“Kita mahu SPRM melakukan siasatan menyeluruh berkaitan kes ini kerana dipercayai berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak atasan dalam DBKL dan kementerian semasa pemerintahan kerajaan terdahulu.

“Kedua-dua lot tanah bernombor 568 dan 716 itu pada asalnya merupakan kawasan lapang yang menjadi tapak berniaga sebelum diceroboh untuk pembinaan sebuah bangunan pejabat dan gerai buah-buahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Zulhazmi, antara dokumen yang diserahkan kepada SPRM hari ini termasuk kronologi kes, laporan Jabatan Integriti DBKL serta laporan dan notis pemberitahuan mengosongkan tapak oleh Pejabat Ta­nah dan Galian Kuala Lumpur.

“Adalah pelik bagaimana DBKL boleh meluluskan kebenaran merancang di atas tanah bukan milik syarikat yang membina atau pun milik DBKL. Kita merasakan ada pihak yang terlibat dalam proses ini mendapat imbuhan atau habuan,” katanya.

Sementara itu katanya, arahan mengosongkan tapak telah dikeluarkan pada 3 Januari lalu oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selaku pemilik tanah yang berakhir pada 10 Januari lalu bagaimanapun, tidak diendahkan oleh syarikat terbabit.

Katanya, sejak bangunan pe­jabat dan gerai buah-buahan ber­kenaan siap dibina di dua lot ta­nah berkeluasan 0.14 hektar pada Februari 2018, syarikat berkenaan juga difahamkan mengutip sewa daripada penyewa dan tiada sebarang pulangan kepada DBKL.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mendedahkan berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa dalam kes pencerobohan dua lot tanah milik kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang yang bernilai hampir RM20 juta.