Beliau berkata, kedua-dua negara mahu isu rakyat masing-ma­sing yang memiliki dua kerakyatan diselesaikan dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Malaysia - Thailand yang akan diadakan di Kuala Lumpur kelak kerana ia membabitkan soal perundangan.

“Setakat ini kita tidak tahu berapa ramai yang memiliki dua kewarganegaraan kerana Thailand tidak ada sistem pendaftaran bio­metrik seperti dimiliki Jabatan Pendaftaran Negara.

“Isu ini mengundang kepada masalah perundangan dan jena­yah rentas sempadan,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan lawatan kerja dua hari ke negara ini di sini hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid me­ngadakan mesyuarat bersama Tim­balan Perdana Menteri Thailand, Prof Dr. Wissanu Krea-ngam di Kompleks Kerajaan, di sini.

Mesyuarat yang berlangsung selama satu jam itu turut dihadiri Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain; Ketua Setia­usaha Kementerian Dalam Nege­ri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan para delegasi dari Malaysia.

Beliau seterusnya menghadi­ri satu lagi mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri merang­kap Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan di Kementerian Pertahanan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan, isu lain dibangkitkan termasuklah mena­ngani masalah kesesakan ketika waktu puncak di Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadao di Selatan Thai.

Menurutnya, kedua-dua perkara tersebut juga akan dibangkitkan dan diperhalusi dalam Mesyuarat Penye­la­rasan Jawatankuasa Peringkat Ter­ting­gi di Kuala Lumpur kelak.

Ahmad Zahid berkata, Thailand turut membangkitkan isu kebolosan di sempadan dan mahu tembok atau pagar sempadan dibina untuk mengelakkan penyeludupan manusia, senjata api dan dadah.

“Perkara ini bukan sahaja melibatkan bidang tugas Majlis Kese­lamatan Negara (MKN) tetapi juga Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Pertahanan,” katanya.

Menurutnya, isu-isu lain ber­kai­tan dengan masalah jenayah rentas sempadan ialah Skim Pemindahan Banduan Antarabangsa (ITOP) dan dalam hal ini seramai 799 rakyat Thai ditahan di Malaysia dengan 300 orang sudah dijatuhi hukuman manakala 499 sedang direman.

Daripada jumlah itu, katanya, 79 banduan layak dipindahkan melalui skim pertukaran tersebut memandangkan hukuman yang dijalani berbaki enam bulan lagi.

Berhubung kesalahan imigre­sen membabitkan rakyat Thai, beliau berkata, seramai 1,430 rakyat negara itu yang bekerja dan tinggal lebih masa di Malaysia akan dihantar pulang. – Utusan